GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket curi wang tunai melibatkan pelancong asing dipercayai warga Iran dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan tumpuan pelancong, Gurney Plaza di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, operasi khas itu dijalankan susulan tiga laporan polis yang diterima antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu berhubung kehilangan wang tunai melibatkan pelancong dari Taiwan, Belanda dan Syria di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang.
”Hasil siasatan membawa kepada penahanan lima individu warga asing dari Timur Tengah terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun serta merampas pelbagai mata wang asing, dua buah kenderaan serta sepeket ganja. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis THC,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Alwi, siasatan awal mendapati kumpulan warga asing itu menyasarkan pelancong dari luar negara dengan cara mengajak mangsa untuk berbual dan semasa perbualan berlangsung, mangsa diminta untuk menunjukkan wang tunai yang berada di dalam simpanan mangsa.
”Tanpa disedari, wang tunai mangsa telah diambil oleh suspek dan kemudian terus beredar dari lokasi kejadian. Dilaporkan mangsa hanya akan menyedari tentang kehilangan wang tunai setelah suspek beredar dari tempat kejadian tersebut,” katanya.
Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE