PETALING JAYA – Kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir perlu digali semula dengan kadar segera bagi membolehkan satu bedah siasat dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian remaja itu.
Permintaan tersebut dikemukakan oleh barisan peguam yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menerusi satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut wajar diambil susulan penemuan terbaharu berhubung kesan-kesan lebam yang dilihat pada tubuh Zara semasa proses memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
“Anak guam kami melihat sendiri kesan-kesan lebam tersebut kerana dia yang memandikan jenazah Zara bersama beberapa wanita lain.
“Anak guam kami tidak memasukkan fakta penting ini di dalam laporan-laporan polisnya sebelum ini kerana dia terlupa sepenuhnya mengenainya,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, Noraidah hanya teringat semula tentang lebam tersebut apabila ditanya oleh pihak peguam mengenai keadaan tubuh Zara kelmarin.
“Anak guam kami percaya kesan-kesan lebam yang dilihatnya itu adalah kesan-kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan-pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang Zara sebelum dia ditemui di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada subuh 16 Julai lalu,” ujarnya.
Kata mereka, perkembangan baharu itu sekali gus menjustifikasikan siasatan kes dibuka semula, walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam memaklumkan siasatan polis telah selesai dan kertas siasatan akan dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, peguam turut merujuk laporan polis terdahulu bertarikh 30 Julai lalu yang dibuat oleh Noraidah berhubung rakaman perbualan telefon antara beliau dan Zara sebelum kejadian.
Menurut laporan itu, Zara pernah mengadu dibuli dan diugut oleh pelajar senior dengan kata-kata seperti ‘kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni’.
“Maklumat ini mungkin mempunyai kaitan dengan maklumat terbaharu yang disalurkan oleh anak guam kami kepada polis pada pagi ini,” jelas kenyataan itu.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.
Polis sudah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu hadapan. – KOSMO! ONLINE