KAJANG – Tidak puas hati dengan cara bercakap dipercayai punca seorang pelajar dipukul rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, sebanyak sembilan keterangan saksi diambil termasuk empat pelajar yang ditahan sebelum ini.
“Reman disambung sehari lagi sehingga esok, namun kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis hari ini setelah siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan empat pelajar lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas dipercayai memukul rakan sekelas mereka di sebuah pusat beli-belah di Kajang.
Polis menerima laporan daripada mangsa pada pukul 12.57 tengah hari, Khamis lalu yang mendakwa ditumbuk dan ditampar oleh dua pelajar ketika berada di pusat beli-belah berkenaan sehari sebelumnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE