fbpx
BARISAN atlet negara menunjukkan pingat yang dimenangi masing-masing pada Kejohanan Pencak Silat Asia di Vietnam kelmarin.

Tujuh emas pembakar semangat ke Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJAYAAN skuad silat negara menuai tujuh pingat emas Kejohanan Pencak Silat Asia 2025 di Vietnam kelmarin dijadikan sebagai tonik terbaik menjelang pertembungan sebenar di Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.

Tiga daripada emas itu hadir menerusi acara silat olahraga, manakala empat lagi diraih dalam kategori seni sekali gus menyamai sasaran ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Setiausaha Agung Pesaka, Bibi Aishah Golbal Shah menyifatkan pencapaian tersebut sebagai permulaan manis dalam misi memburu kecemerlangan lebih besar di pentas dwitahunan yang bakal berlangsung di Songkhla pada Disember nanti.

“Alhamdulillah, kami capai sasaran tujuh emas. Ia jadi pembuka jalan buat kita untuk terus melakar kemenangan di Sukan SEA nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Bibi, pihaknya kini mula merangka persiapan rapi bagi memastikan barisan pesilat negara berada pada tahap terbaik menjelang temasya itu nanti.

Beliau juga meluahkan rasa bangga terhadap peningkatan prestasi ditunjukkan oleh atlet silat, terutamanya mereka yang masih muda dan dahagakan kejayaan.

“Peningkatan yang ditunjukkan memang ketara. Mereka bersungguh-sungguh mahu capai sasaran masing-masing.

“Saya dengan rendah hati memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar kejayaan ini dapat dikekalkan di Sukan SEA nanti. Semoga dengan berkat doa semua, kami dapat mencapai sasaran yang bakal kami umumkan kelak,” tambahnya.

Pada edisi 2023 di Kemboja, skuad silat negara membawa pulang empat emas, lima perak dan empat gangsa, melepasi sasaran awal dua emas meskipun tampil dengan ramai muka baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI