KUANTAN – Tiga lelaki warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas di Kilometer 200.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di sini malam semalam.
Mangsa yang maut ialah pemandu kenderaan jenis Toyota Avanza, Md Sabber Hasan,30, dan dua penumpang belakang iaitu Md Jahid Hasan,21 dan Abdullah,24 yang merupakan warga Bangladesh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu berlaku ketika kenderaan jenis Toyota Avanza yang dinaiki lima lelaki itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di lokasi kejadian yang merupakan laluan lurus, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Akibat kejadian tiga lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemeriksaan giat dilakukan.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tidak mempunyai lesen dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan akan dijalankan dan usaha mengesan saksi kejadian serta majikan kepada semua mangsa sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan atau menghubungi balai polis berhampiran,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE