KUALA LUMPUR – Hasrat untuk menyaksikan perlawanan akhir yang menemukan dua beregu campuran negara musnah selepas gandingan No.1 malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir di separuh akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di East Asian Games Dome sebentar tadi, pilihan utama kejohanan itu terpaksa akur tewas dalam aksi tiga set 21-15, 17-21, 11-21 kepada beregu Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Walaupun bermula dengan langkah kanan, namun gandingan No.3 dunia itu gagal mengekalkan momentum dalam dua set berikutnya, terutamanya di set ketiga apabila membenarkan pemain lawan menguasai permainan.
Kekalahan itu sekali gus meranapkan impian untuk melihat dua beregu negara bertemu sesama sendiri di pentas final selepas pasangan profesional, Jimmy Wong-Lai Pei Jing mengesahkan kemaraan lebih awal.
Jimmy-Pei Jing yang turun sebagai pemain bukan pilihan melakar kejutan apabila membenam cabaran pilihan keenam dari Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dengan keputusan straight set 21-18, 21-16.
Pertemuan menentang Christiansen-Boje di final esok pastinya bukan sesuatu yang mudah buat Jimmy-Pei Jing dalam usaha mereka memburu gelaran sulung musim ini selepas tiga kali mara ke final.
Turut meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir esok adalah perseorangan lelaki, Justin Hoh yang akan turun menentang pemain Indonesia, Alwi Farhan selepas menewaskan Tharun Mannepalli dari India 19-21, 21-16, 21-16.
Melengkapkan tiga wakil Malaysia di pentas final esok adalah beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King yang menang 21-13, 21-15 ke atas rakan sepasukan, Choong Hon Jian-Haikal Nazri. – KOSMO! ONLINE