SEOUL – Selepas sedekad menabur bakti, ketua pasukan Tottenham Hotspur, Son Heung-min akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan yang berpangkalan di utara London itu.
Pemain berusia 33 tahun itu menyertai Spurs dari Bayer Leverkusen pada 2015 dan telah membuat lebih 450 penampilan bersama kelab berkenaan dan meraih kenangan paling manis apabila menjulang gelaran Liga Europa pada musim lalu untuk menamatkan penantian 17 tahun mereka.
Biarpun berjaya meraih kejayaan tersebut, laluan karier Heung-min musim lalu tidak berjalan lancar apabila dia berdepan masalah kecederaan berulang sehingga gagal memberikan aksi terbaik.
“Sebelum kita memulakan sidang media kali ini, saya mahu mengumumkan keputusan bahawa saya akan meninggalkan Spurs pada musim panas kali ini. Saya sangat menghargai apabila kelab ini membantu saya dalam membuat keputusan ini,” katanya dalam sidang media ketika sesi pramusim bersama pasukan itu.
Heung-min yang meledak 173 gol untuk Spurs tidak mendedahkan mengenai destinasi baharu kariernya, namun dia dikaitkan dengan beberapa pasukan di Liga Bola Sepak Major (MLS) Amerika Syarikat termasuk Los Angeles FC.
“Saya mengakui bahawa keputusan ini sangat sukar yang saya lakukan sepanjang karier. Banyak kenangan bersama kelab ini dan itu membuatkan ia tidak mudah untuk saya melupakannya.
“Saya memerlukan suasana baharu untuk terus memberikan cabaran kepada diri sendiri. Saya perlukan perubahan, 10 tahun adalah tempoh yang panjang, saya tiba di London pada usia 23 tahun, tetapi saya meninggalkan kelab ini sebagai seorang lelaki dewasa dan ia sangat membanggakan,” jelasnya. – AGENSI