fbpx
Zara Qairina

Siasatan kes kematian Zara Qairina selesai, diserah kepada DPP minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu hadapan.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata, siasatan yang melibatkan hampir 60 orang saksi kini berada pada peringkat akhir sebelum tindakan lanjut oleh pihak pendakwaan.

“Fokus kita adalah kepada siasatan polis. Hampir 60 saksi sudah dipanggil dan tugas polis ialah untuk membantu menyiapkan siasatan sama ada wujud kes, motif, atau unsur senjata, semua itu dalam skop mereka.

“Siasatan kini sudah selesai dan akan diserahkan kepada DPP,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai Perbarisan Tamat Latihan (POP) pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024 dan Kursus Asas Laskar Kanan Maritim Siri 18/2024 di Akedemik Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini, hari ini.

Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.

Bagaimanapun, ketiadaan proses bedah siasat sebelum pengebumian telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli keluarga yang kemudian tampil membuat laporan polis tambahan dan memohon agar satu inkues diadakan bagi mencari kepastian terhadap punca sebenar kematian.

Menurut Saifuddin, sebarang keputusan selepas itu sama ada untuk meneruskan pendakwaan atau membuka prosiding inkues terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Dalam masa sama, beliau mengakui permohonan yang dibuat oleh ibu Allahyarhamah termasuk menggali semula kubur untuk tujuan bedah siasat merupakan satu tindakan sah di sisi undang-undang.

“Usaha yang dilakukan oleh ibu mangsa melalui saluran undang-undang adalah dibenarkan, dan kita akan pastikan semua proses berkaitan dilaksanakan secara teratur,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI