KOTA BHARU – Nasken Coffee yang kini berperanan sebagai pemilik baharu Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRW FC) akan meneruskan revolusi dimulakan oleh bekas presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan dengan sedikit penambahbaikan.
Ketua Pegawai Eksekutif KRW FC, Wan Mohd. Fajarulekram Wan Mokhtar berkata, bermula hari ini, KRW FC akan bergerak sebagai salah satu entiti di bawah jenama Nasken Coffee dan akan saling membantu demi kemajuan pasukan itu.
Menurutnya, beliau telah diamanahkan untuk meneruskan perjuangan dimulakan Nik Hafiz Naim sekali gus memastikan segala perancangan yang telah disusun dapat digerakkan dan direalisasikan.
“Kita akan bawa semangat dan jiwa perjuangan dia dalam pengurusan baharu ini. Jadi kami akan meneruskan revolusi yang dia (Nik Hafiz Naim) mulakan dan akan ada revolusi baharu.
“Maksudnya, akan ada beberapa penambahbaikan dan kita akan meneliti satu demi satu perancangan agar ia menjadi lebih baik pada masa hadapan,” katanya pada sidang media khas di Lembah Sireh, hari ini.
Terdahulu, Nik Hafiz Naim yang juga Pengerusi Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) melepaskan semua pemilikan dan jawatan selaku Presiden KRW FC berkuat kuasa serta merta.
Nik Hafiz Naim turut mengakui keputusan drastik yang diambilnya itu turut berkait dengan isu sekatan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dibangkitkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
“Kita tidak boleh membiarkan usaha digerakkan Nik Hafiz Naim bersama GSK ini terkubur begitu sahaja. Sebab itu kita perlu mencari solusi dan persefahaman agar perjuangan ini dapat diteruskan sehingga ke peringkat seterusnya.
“Aspek kebajikan pemain, jurulatih dan kakitangan juga antara sebab kita tidak boleh membiarkan KRW FC terkubur selain tidak mahu mengecewakan harapan penyokong serta jiwa-jiwa yang telah berusaha menyelamatkan kelab ini,” kata Wan Mohd. Fajarulekram. – KOSMO! ONLINE