DITAYANGKAN di pawagam terpilih seluruh negara bermula 31 Julai 2025, Together selayaknya dilabel sebuah filem body horror wajib tonton.
Together arahan Michael Shanks mengisahkan Millie dan teman lelakinya, Tim yang hidup dalam ketidakpastian perasaan, namun semuanya bertukar ngeri selepas mereka tiba di sebuah rumah kecil di kawasan terpencil.
Mereka jatuh ke dalam sebuah gua misteri dan bermalam di rumah berkenaan. Saat bangun keesokan harinya, kaki mereka didapati melekat antara satu sama lain. Di situ bermulalah malapetaka kehidupan.
Buat penulis secara peribadi, Together diterjemahkan cukup sempurna dari segenap aspek kemenjadian sebuah naskhah seram. Pengarahan, skor muzik, sinematografi dan terjemahan karakter dua pelakon utama, Dave Franco dan Alison Brie, cukup berkesan.
Kalau ada dalam kalangan penonton berasakan hubungan cinta tiada lagi percikan api atau ‘spark’, bolehlah angkut pasangan masing-masing tonton filem berkenaan.
Nescaya, memang akan terus meluhur rasa apresiasi antara satu sama lain kerana tidak mahu nasib yang terjadi kepada Tim dan Millie menimpa diri kita.
Kongklusinya, Together sebuah filem body horror yang sangat memberi dampak. Tidak salah Rotten Tomatoes memberi rating 100 peratus terhadap garapan Michael Shanks tersebut.
Mengelirukan dalam setiap kebarangkalian, dicacah dengan lelucon berkesan, olahan bijak dan paling penting, elemen jumpscare bikin audiens mencarut. Buat yang tidak biasa dengan cerita seram, jantung anda mungkin akan tercabut keluar dari dada atau tercampak sampai ke bumbung. Awas!