PARIT – Umur 74 tahun tidak menjadi batu penghalang bagi seorang nenek yang memiliki 15 cucu kekal aktif mengusahakan cendawan kukur dan cendawan tiram kelabu selepas beliau bersara sebagai pengetua sebuah sekolah di sini.
Tidak mahu menikmati hasil wang pencen dengan bercuti dalam meniti usia emas ini, Azizah Musa yang juga ibu kepada lima anak sebaliknya aktif bertani, malah cergas dan bertenaga seperti mana beliau menunaikan amanahnya dalam dunia pendidikan selama 18 tahun.
“Saya tidak boleh duduk diam dan tidak betah melakukan kerja-kerja rumah sahaja.
“Disebabkan itu, saya menceburi perniagaan ini yang mana ia memberi peluang kepada saya untuk kekal aktif dengan menghasilkan bongkah-bongkah cendawan daripada habuk kayu, dedak padi halus, kapur pertanian dan kapas dengan bantuan dua pekerja wanita lain.
“Usaha ini membuktikan warga emas masih mampu menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kampung Dusun Hilir, Layang-Layang Kiri, di sini baru-baru ini.
Menurut Azizah, sebaik sahaja selesai proses membuat bongkah, ia perlu dikukus terlebih dahulu sebelum digantung bagi cendawan kukur tumbuh, manakala cendawan tiram kelabu diletakkan dirak-rak tertentu dengan kedua-duanya dimuatkan di binaan khas yang tertutup rapi.
Beliau mengusahakan kedua-dua tanaman cendawan ini di tanah berkeluasan 0.6 hektar di Kampung Dusun Hilir dan Kampung Pasir Gajah.
Cendawan kukur mempunyai nilai pasaran yang tinggi dengan harga bagi sekilogram (kg) mencecah RM100 berbanding jenis tiram kelabu iaitu RM25/kg.
Kaedah pemasarannya juga unik iaitu menjual cendawan itu bersama sayur-sayuran lain seperti serai, daun kunyit, ulam raja, keladi lambuk, belimbing dan asam gelugur hasil tanaman orang kampung di pasar tani berdekatan.
“Kerjasama dengan komuniti kampung bukan sahaja merapatkan hubungan kami, malah saya juga dapat mempelajari ilmu Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan wujudnya peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal dan pengkomersialan hasil-hasil setempat.
“Selain membantu penduduk kampung menambah pendapatan daripada jualan hasil tani selain bekerja, saya mampu menjana pendapatan kasar secara purata sekitar RM4,000 sebulan,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Jabatan Pertanian kerana banyak memberikan bantuan berbentuk perancangan kewangan, operasi semasa, motivasi, analisis bajet, geran berbentuk mesin dan peralatan serta pinjaman tanpa faedah.
“Kedua-dua agensi ini terutama Perak SADC yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus aktif dalam dunia pertanian. Pegawai mereka kerap datang ke premis memantau dan memberi tunjuk ajar secara berkala.
“Program Skim Usahawan Negeri Perak melalui tawaran Pinjaman Tanpa Faedah Perak SADC yang diperoleh sebanyak RM30,000, dengan bayaran kompetitif RM400 sebulan juga banyak membantu saya merangka strategi perniagaan yang unik,” katanya.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Perak Tengah sebagai Koridor TVET Malaysia yang disasarkan menjadi pusat institusi ilmu dan pertanian moden.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan rakyat.