PETALING JAYA – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim melawat keluarga pelajar universiti itu, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang meninggal dunia baru-baru ini.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata, sumbangan turut disampaikan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang warga universiti.
“Semoga kunjungan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kekuatan buat mereka. Al-Fatihah buat Allahyarham,” katanya hari ini.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, yang juga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM meninggal dunia sewaktu menjalani latihan Isnin lalu.
Kes itu mendapat perhatian apabila ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa arwah anaknya maut ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, namun sebab kematiannya belum jelas. – KOSMO! ONLINE