fbpx
RIFDEAN meraikan kejayaannya menumbangkan Bernueng dalam aksi ONE Championship di Bangkok malam kelmarin. - IG MOHDRIFDEAN_MANSOR

Letih tak halang kemenangan Rifdean

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jaguh muay thai negara, Rifdean Masdor terus mempamerkan bisa dalam saingan ONE Championship selepas memenangi pertarungan kategori atomweight pada ONE Friday Fights 118 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand semalam.

Turun menentang wakil tuan rumah, Bernueng Sor Salacheep, Rifdean langsung tidak memberikan ruang apabila melakukan asakan demi asakan sehingga menyebabkan petarung berusia 17 tahun itu ‘sesak nafas’.

Bagaimanapun, Rifdean mengakui masih belum berpuas hati dengan pertarungan tersebut memandangkan ia bukanlah aksi terbaiknya biarpun dapat mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.

Petarung sensasi negara berusia 22 tahun itu berikrar untuk memperbaiki prestasi dan menampilkan corak pertarungan lebih baik pada edisi yang akan datang.

“Saya minta maaf kalau ada kekurangan dalam pertarungan tadi (kelmarin), terutamanya di pusingan ketiga kerana amat letih tetapi saya sudah buat yang terbaik. Pertarungan seterusnya akan buat lebih baik.

“Pada pusingan ketiga, memang kurang cantik dan saya juga tidak berpuas hati dengan aksi ditampilkan tetapi Alhamdulillah dapat memenangi pertarungan tersebut,” katanya dalam satu hantaran menerusi IG Story miliknya.

Dalam pada itu, Rifdean mengakui beratnya yang turun hampir 9 kilogram (kg) menyebabkan dia cepat penat kerana stamina tidak seperti biasa sehingga menyaksikannya kurang agresif.

Pada pertarungan tersebut, petarung kelahiran Sarawak itu mencatat kemenangan ke atas Bernueng menerusi keputusan majoriti daripada barisan juri selepas tiga pusingan.

Sebagai rekod, ini adalah pertarungan kelima Rifdean dalam saingan ONE Championship di mana dia sudah mencatat empat kemenangan selain tewas sekali kepada Petninmungkorn NamkangIceland pada ONE Friday Fights 93, Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI