LONDON – Harapan Liverpool untuk mendapatkan Alexander Isak musim panas ini dilaporkan hampir tertutup selepas pemilik Newcastle United, Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, membuat keputusan tegas untuk mengekalkan penyerang utama mereka.
Isak sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield selepas tidak menyertai jelajah pramusim pasukan ke Asia atas alasan kecederaan paha, namun sumber kelab mendedahkan imbasan perubatan sebenarnya telah menunjukkan keputusan negatif.
Malah, laporan mendakwa penyerang Sweden itu telah bersetuju secara lisan dengan terma perpindahan ke Liverpool, termasuk kontrak lima tahun bernilai £250,000 (RM1.4 juta) seminggu sekali gus menjadikannya antara pemain bergaji tertinggi kelab itu.
Bagaimanapun, selepas gagal mendapatkan pengganti yang diidamkan, Benjamin Sesko yang kini memilih untuk ke Manchester United, pihak pengurusan tertinggi Newcastle memutuskan untuk menolak sebarang tawaran terhadap Isak.
Menurut laporan, PIF tidak terdesak untuk menjual Isak kerana masih memenuhi syarat Peraturan Keuntungan dan Kestabilan (PSR) menyebabkan mereka memberi arahan langsung kepada pengurus Eddie Howe bahawa Isak tidak akan dijual musim ini.
“Dia masih pemain kami. Dia terikat kontrak dan kami masih mengawal apa yang akan berlaku seterusnya. Saya harap dia kekal bersama kami, tapi saya akui bukan semua perkara berada dalam kawalan saya,” kata Howe.
Howe turut memaklumkan Newcastle belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada Liverpool dan menyatakan hasratnya untuk mengekalkan Isak serta melihat pemain itu terus beraksi bersama pasukan pada musim depan. – AGENSI