fbpx
Anwar beramah mesra dengan peniaga sewaktu melawat reruai selepas merasmikan Program Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) tahun 2025 di MITEC, hari ini.- Foto oleh AMIR KHALID

FGV dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia 28 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa FGV Holdings Bhd. akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 28 Ogos ini.

Beliau berkata, nyahsenarai itu sekali gus membolehkan FGV menentukan arah tujunya serta jaminan koperasi supaya faedah dan kepentingan peneroka diutamakan.

“Kerajaan hari ini terpaksa membayar hampir RM1 bilion setiap tahun selesaikan hutang lapuk Felda dan itu akan kita teruskan. Tidak apa, bukan salah ibu mengandung atau peneroka, ini masalah-masalah lain.

“Tapi kerana pengurusan baik, terima kasih kepada pengurus besar dan seluruh pengurusan Felda, kita boleh nyahsenarai mulai 28 Ogos ini. Maknanya, Felda tidak terikat,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Program Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) Tahun 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau juga akan memastikan pengarahan lebih jelas daripada kerajaan dalam memastikan FGV kembali kepada matlamat asal Felda.

“Keutamaannya kepada peneroka, hak mereka, hasil dan koperasi yang mereka tentukan. Jadi selanjutnya biar mereka uruskan untuk beberapa bulan pertama supaya berhasil projek Felda seperti yang mana diinginkan.

“Saya hanya turut bangga tentang apa diperlukan Felda tentunya banyak. Tetapi seperti apa yang saya tekankan, saya tak peduli tohmahan luar.

“Tapi sebaik sahaja dicadangkan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)) dan pengurusan, apa yang mampu kerajaan lakukan, ini Kerajaan Madani insya-Allah akan tunaikan,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, Felda menerima penerimaan yang sah untuk semua baki saham biasa dalam FGV Holdings Bhd dan memperoleh saham tawaran mencapai 91.73 peratus daripada jumlah saham terbitan FGV.

Menurut FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Felda memegang lebih 90 peratus daripada sahamnya dan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Securities.

Tawaran ini masih dibuka untuk penerimaan sehingga pukul 5 petang pada 15 Ogos 2025 dan Felda menggalakkan semua pemegang saham yang belum menerima tawaran untuk berbuat demikian sebelum tempoh tamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI