JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) terbuka untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, adalah penting bagi menjayakan kerjasama ini dengan mengadakan perbincangan secara harmoni bagi mengelak perebutan kerusi.
“Yang penting jangan berlaga, kalau tidak, yang untung orang lain. Kita pakat-pakatlah kerana ini nak bina negeri, ada tujuan dan matlamat yang sama.
“Ini bukan untuk kepentingan diri. Kita teruskan (perbincangan), ada strategi, yang penting jangan berlaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.
Ahad lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS akan meneruskan kerjasama politik dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN.
Menurutnya, kerjasama tersebut telah dipersetujui oleh semua parti komponen dalam GRS menerusi perbincangan yang diadakan sebelum ini.
Selasa lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan PH telah mengunci perjanjian kerjasama bagi persiapan mendepani PRN Sabah.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan, meski pun PH dan GRS telah menjalin kesepakatan bersama-sama.
Terdahulu ketika berucap, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, jentera UMNO perlu bersiap sedia dari sekarang kerana bakal menghadapi PRN Sabah diikuti PRN Melaka dan PRN Johor.
Katanya, pada PRN Johor yang lalu, UMNO memperoleh keputusan cemerlang majoriti lebih dua pertiga setelah memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau berharap kejayaan tersebut dapat diulang pada PRN Johor termasuk menang lebih banyak kerusi di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16. – KOSMO! ONLINE