fbpx
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Kematian anggota Palapes: UTM serah kepada pihak berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyerahkan siasatan berhubung kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin kepada pihak berkuasa.

UTM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan.

“UTM merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarham Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi selepas selesai menjalani latihan di kawasan Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tentera Darat, Ulu Tiram.

“UTM memandang serius insiden ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan akan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan,” katanya hari ini.

UTM berkata, pihak universiti sudah menghubungi waris Allahyarham dan bersedia menyalurkan segala bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan.

“UTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan dan sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut agar siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya sewaktu menjalani latihan pada Isnin lalu.

Ibu tunggal itu berkata, pemerhatian ke atas jenazah anaknya mendapati pemuda itu mengalami kecederaan teruk pada tubuh  tidak selari dengan maklumat awal yang mengatakan kematian berpunca akibat sawan.

Katanya, selain pendarahan yang banyak khususnya pada hidung dan mata dipercayai susulan impak hentakan kuat di kepala, terdapat beberapa kecederaan lain seperti lebam dan luka pada badan termasuk leher dan bahu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI