GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif baharu air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) sehingga 1 Julai 2026.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, pelaksanaan pelarasan tarif itu sebelum ini dijadualkan bermula hari ini.
“Namun ia (tarif baharu) ditangguhkan sehingga 1 Julai 2026. Keputusan penangguhan selama setahun itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 715,957 pengguna air di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos ini susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kenaikan itu melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini. Pelarasan itu bagaimanapun tidak melibatkan Perak bagi kategori pengguna domestik. – KOSMO! ONLINE