TOKYO – Pengurus Liverpool, Arne Slot menganggap kemenangan ke atas Yokohama F. Marinos, kelmarin sebagai ujian paling bernilai buat pasukannya sebelum memulakan musim baharu.
Kemenangan itu juga menjadi penutup terbaik buat The Reds pada pramusim di Asia dan kualiti yang dipersembahkan oleh semua pemain sudah pun menyerlahkan kemahuan pasukan untuk kekal kompetitif.
“Perlawanan agak bagus dengan menentang pasukan yang sedang berada pada pertengahan musim. Ia menjadikan aksi kali ini cukup sengit dan ia sentiasa menarik untuk melakukannya pada pramusim.
“Kami mahu membina pasukan yang boleh bersaing dan Yokohama F. Marinos adalah salah satu pasukan yang boleh memberi ujian kepada kami. Saya dapat lihat perkara positif daripada perlawanan ini khususnya ketika kami ketinggalan.
“Perkara seperti ini juga berlaku ketika kami menentang AC Milan. Ia mungkin menjadi kem latihan yang sukar, tetapi inilah yang kami perlu baiki sebelum hadapi lawan seterusnya,” katanya.
Asahi Uenaka terlebih dulu membuka jaringan buat tuan rumah namun Liverpool berjaya pamer kebangkitan untuk memperoleh tiga gol daripada Florian Wirtz, Trey Nyoni dan Rio Ngumoha.
Dalam masa sama, Slot juga gembira dengan impak dijelmakan oleh Ngumoha dan Nyoni, malah menganggap pemain muda itu mempunyai masa depan yang agak baik bersama pasukan.
“Ini bukan impak tunggal yang berjaya dilakukan oleh pemain simpanan kerana Trey Nyoni dan pemain muda lain menjaringkan gol. Rio sekali lagi menunjukkan kualiti yang dia ada dan adalah bagus untuk kami mempunyai pemain berkualiti,” katanya. – AGENSI