MUAR – Keghairahan 10 ‘transporter’ meraih upah lumayan mencecah RM15,000 dengan menghantar bekalan dadah dari utara tanah air ke negara jiran tidak berpanjangan apabila mereka diberkas dalam Op Larch, dua minggu lalu.
Kesemua suspek berusia 29 hingga 70 tahun itu ditahan bersama 61 kilogram (kg) dadah bernilai RM2 juta dalam serbuan di sekitar Johor dan Lembah Klang pada 21 dan 22 Julai lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas pihaknya berjaya mengesan pergerakan suspek pertama di Parit Jawa.
Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Toyota Lexus dipandu suspek menemui 51kg methamphetamine dalam bungkusan berwarna hijau, biru dan merah.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah dan sekitar Parit Jawa membawa kepada penahanan suspek kedua dan ketiga yang juga pasangan suami isteri.
“Serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah di Tanjung Labuh, Batu Pahat dan suspek keempat dipercayai ketua sindiket warga tempatan berjaya diberkas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.

Ujarnya, lima suspek lain termasuk seorang warga asing ditahan dalam serbuan di sekitar Jalan Parit Bakar dan tangkapan seterusnya di Jalan Bukit Segar, Cheras, Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan di dalam rumah suspek ke-10 menjumpai 17 peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki methamphetamine dan 105 biji pil ekstasi untuk pasaran kelab malam.
“Kesemua suspek mengaku menerima upah RM3,000 hingga RM15,000 sebulan untuk menghantar bekalan dadah ke Indonesia menggunakan bot menerusi laluan Selat Johor dan Selat Melaka sejak Oktober tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, polis menyita tujuh buah kenderaan mewah termasuk Mercedes-Benz GLC, Toyota Alphard, barang kemas, jam tangan, beg tangan dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM752,655.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE