HONOR terus mengukuhkan tempatnya sebagai jenama utama pengeluar peranti pintar dengan pelancaran model telefon pintar boleh lipat (foldable) terbaharunya iaitu HONOR Magic V5 yang paling berkuasa dan tahan lasak dalam kelasnya dan ditawarkan pada harga RM6,999.
Ketika ini telefon pintar dengan skrin boleh lipat menjadi antara ciri premium yang mendapat perhatian pengguna.
Namun begitu, masih ramai pengguna yang bimbang tentang ketahanan skrin boleh lipat.
Bagi menggantikan skrin sahaja ia boleh menelan belanja yang tinggi, malah harganya juga boleh membeli sebuah telefon pintar yang baharu.
Menyedari keperluan ini, HONOR menawarkan Jaminan Tanpa Risau (Worry Free Warranty) kepada skrin sekaligus memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna.
Ia merupakan pelan perlindungan eksklusif yang direka khas untuk skrin boleh lipat dan disertakan dengan setiap pembelian HONOR Magic V5.

Tawaran ini merangkumi jaminan perlindungan retak sehingga satu tahun tanpa bimbang di mana HONOR menyediakan perkhidmatan penggantian satu kali sahaja untuk kedua-dua skrin dalam dan luar sekiranya berlaku keretakan.
Untuk penggantian skrin ini pengguna hanya perlu membayar caj buruh sebanyak RM60 untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Selain itu, HONOR juga turut memberikan jaminan kualiti sehingga dua tahun tanpa bimbang jika berlaku kerosakan kepada skrin yang bukan disebabkan oleh kecuaian pengguna.
Jaminan kualiti ini merangkumi kerosakan dalaman skrin seperti kemunculan garisan hijau pada skrin paparan, kebocoran skrin ataupun keabnormalan paparan dan pengguna layak untuk mendapatkan penggantian skrin percuma tanpa had dalam tempoh jaminan.
Dalam pada itu, HONOR Magic V5 ini dibina dengan keupayaan tahan lasak yang meyakinkan.
Peranti ini dilengkapi dengan skrin luaran yang dilindungi oleh Perisai NanoCrystal Anti-Calar dengan tiga kali lebih tahan haus, 10 kali lebih tahan hentakan dan 15 kali lebih tahan calar.
Ia mampu menahan calar daripada kunci dan objek tajam, serta mampu menyerap hentakan apabila terjatuh ke permukaan keras.
Skrin dalaman HONOR Magic V5 direka dengan struktur perlindungan tiga lapisan di mana untuk lapisan luar adalah salutan alumina anti calar untuk meningkatkan ketahanan terhadap calar.
Bagi lapisan tengah ia adalah salutan cecair bukan Newtonia yang menyerap impak akibat jatuh.

Lapisan dalam adalah lapisan sokongan gentian karbon sepenuhnya berdekatan engsel untuk mencegah kemasukan habuk yang menjadi punca biasa kepada masalah garisan hijau.
Peranti ini juga dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Zarah AI yang mampu memantau serpihan antara skrin secara masa nyata dan memberi amaran kepada pengguna untuk mengelakkan kerosakan.
Untuk memastikan pengalaman selepas jualan yang lebih baik, HONOR menyediakan 14 pusat servis di seluruh negara yang boleh menjalankan pembaikan skrin terus di lokasi, sekali gus mengurangkan masa menunggu.
Kerangka badan peranti ini dibina daripada tujuh lapisan gentian gred aeroangkasa termaju, meningkatkan ketahanan hentakan sehingga 40 kali ganda.
Ia memiliki ciri-ciri kekuatan tinggi, tahan haba, tahan kakisan, dan sangat ringan.
Engsel peranti ini juga telah diuji untuk menahan sehingga 500,000 kitaran lipatan, bersamaan dengan 100 lipatan sehari dan mampu bertahan sehingga 13 tahun penggunaan.
Ia ini dibina dengan keluli perisai, meningkatkan ketahanan hentakan pada engsel sebanyak 25 peratus.
Dengan penarafan IP58 dan IP59, HONOR Magic V5 juga menawarkan rintangan air dan habuk yang kukuh.

Malah, HONOR Magic V5 benar-benar direka tanpa kompromi dan ia didatangkan dengan bateri silikon karbon berkapasiti 5820mAh dengan reka bentul ultra nipis.
Bateri peranti ini hanya setebal 2.1mm, mengandungi 15 peratus silikon, memberikan kapasiti lebih besar dalam ruang yang kompak dan menjamin hayat bateri sepanjang hari walaupun ia sering digunakan.
Peranti ini menyokong pengecasan berwayar pantas 66W dan pengecasan tanpa wayar HONOR SuperCharge 50W dan mampu mengecas 50 peratus dalam tempoh masa 16 minit dan penuh dalam masa 43 minit.
Peranti ini juga dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Elite dan sistem penyejukan Titanium Vapor Chamber yang dibangunkan khusus oleh jurutera HONOR.
HONOR Magic V5 turut memperkenalkan kemajuan besar dalam teknologi kamera, memberikan pengalaman fotografi bertaraf profesional di tangan pengguna.
Peranti ini dilengkapi sistem tiga kamera belakang profesional merangkumi 50MP Kamera Utama, 50MP Ultra-Lebar dan 64MP Telefoto Periskop.
Peranti ini juga dilengkapi dengan dwi-penstabil imej optikal (Dual OIS), menyokong sehingga 100 kali zum hibrid. – KOSMO! ONLINE