fbpx
Laporan muka hadapan Kosmo! sebelum ini.

Pembunuh adik Nur Aisyah ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang didakwa membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun yang mayatnya dibuang dalam hutan di Gunung Raya, Langkawi pada 2019 dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Ramlan Abdul Rashid, 44, bersalah membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah pada pukul 9 dan 10 pagi, 23 Februari 2019.

Berdasarkan penghakiman bertulis yang diperoleh pihak media menerusi laman web mahkamah hari ini, keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan di mahkamah jelas menunjukkan tindakan sengaja tertuduh terhadap mangsa sehingga membawa maut.

“Walaupun pakar patologi forensik tidak dapat menentukan punca kematian mangsa kerana hanya tengkorak dan dua batang gigi yang ditemui, bukti keadaan yang dikemukakan di mahkamah adalah kukuh dan jelas menunjukkan tertuduh orang terakhir bersama mangsa sebelum ditemui meninggal dunia

“Mahkamah mendapati tertuduh bertanggungjawab atas kematian kanak-kanak itu termasuk sejarah penderaan fizikal, menjadi orang terakhir dilihat bersamanya, membawa polis ke tempat penemuan mayat, membohongi ibunya tentang keberadaan mangsa dan melarikan diri dari Langkawi selepas laporan polis dibuat,” katanya.

Mahkamah turut meneliti keseluruhan fakta kes terutama mangsa kanak-kanak kecil yang tidak berdosa diletakkan dalam jagaan tertuduh selain kematian mangsa akibat kecederaan dipukul dan didera oleh tertuduh secara berpanjangan.

“Tertuduh juga tidak mempunyai perikemanusaiaan hingga sanggup membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan di Gunung Raya tanpa diuruskan secara sepatutnya berdasarkan tuntutan agama,” ujarnya.

Mengikut naratif pendakwaan, pada November 2018, ibu mangsa (pengadu) bersama anaknya mengikut tertuduh ke rumah di kuaters berkenaan dan menetap selama dua bulan dan bekerja di sebuah kedai makan.

Menurut keterangan kes, ibu mangsa yang berulang alik ke tempat kerja meninggalkan Nur Aisyah dalam jagaan tertuduh selama dua bulan.

Ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menemui anaknya ketika melawat rumah tertuduh pada Februari 2019. Tertuduh memberi alasan mangsa diserahkan kepada orang lain untuk dijaga, namun enggan memberitahu siapa atau di mana anaknya menetap.

Ketika soal siasat, tertuduh membawa pegawai dan pakar forensik ke kawasan hutan di Gunung Raya yang kemudian membawa kepada menemukan tengkorak kanak-kanak itu dan dua gigi kecil.

Pakar forensik tidak dapat menentukan punca kematian yang tepat kerana keadaan mayat, tetapi keterangan saksi membantu menentukan keadaan.

Isteri tertuduh yang juga jururawat memberi keterangan dia mendengar kanak-kanak itu menangis pada malam 23 Februari, namun tangisan tersebut berhenti secara tiba-tiba tidak lama kemudian.

Apabila masuk ke dalam bilik, dia mendapati mangsa terbaring dalam keadaan bogel dan tidak bergerak atas tikar dengan tangan dan kakinya kaku.

Dia juga menyedari kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan melecur rokok pada paha dan lebam pada kedua-dua kaki.

Isteri tertuduh juga menggambarkan keadaan mangsa seperti tidak bernyawa dan apabila ditanya kepada suaminya, lelaki itu mendakwa kanak-kanak tersebut mengalami sawan.

Di mahkamah, tertuduh mendakwa kanak-kanak itu sakit dan kematiannya berpunca daripada demam serta kesan sampingan ubat tahan muntah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI