PETALING JAYA – Malaysia diseru supaya terus memastikan hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) dapat dipelihara, sambil sentiasa mencari peluang lain dengan negara di rantau Eropah dan BRICS, serta mengeratkan lagi kerjasama ekonomi dan diplomatik dengan negara ASEAN.
Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, selain itu, usaha untuk meningkatkan produktiviti, pembinaan kapasiti serta daya tahan ekonomi perlu dilaksanakan bagi memastikan kemandirian ekonomi Malaysia dapat ditentukan.
“Pengumuman tarif baharu menunjukkan bahawa AS sentiasa bersedia untuk berunding dan hasil daripada rundingan tersebut, tarif timbal balik yang telah dinaikkan sebelum ini kepada 25 peratus kini diturunkan kepada 19 peratus.
“Oleh yang demikian, kesan negatif terhadap ekonomi Malaysia dijangka kurang sedikit. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia telah pun menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada empat hingga 4.8 peratus berbanding 4.5 – 5.5 peratus sebelum ini.
“Dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 juga menyatakan unjuran ekonomi bagi tempoh 2026 sehingga 2030 adalah sekitar 4.5 – 5.5 peratus, yang dilihat sesuai dengan suasana iklim ekonomi pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Presiden AS, Donald J. Trump menerusi arahan eksekutif terbaharunya bertarikh 31 Julai 2025 yang disiarkan laman web rasmi The White House menyenaraikan jadual kadar tarif baharu bagi 70 buah negara dan rantau, termasuk Malaysia.
Malaysia dikenakan kadar 19 peratus, sama seperti Filipina, Indonesia dan Thailand. – KOSMO! ONLINE