MELAKA – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 15.06 gram, bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Ramdzan Mohamed, 26, dan Farah Amira Mohamad Ali, 28, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin berat kasar 15.06 gram di tepi jalan simpang Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6 petang pada 22 Julai 2025.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd. Zaidi Tahir memaklumkan laporan kimia masih belum diperolehi dan tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 9 September depan untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding sama, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam iaitu dua anggota polis lelaki daripada menjalankan tugas hakiki dengan cara melarikan diri semasa pemeriksaan dijalankan.
Sementara itu, Ahmad Ramdzan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis lelaki semasa melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam di Jalan Teruna 1 Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh sama.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan pasangan itu diikat jamin kerana telah dituduh di bawah Seksyen 39B (1)(a). – KOSMO! ONLINE