SEREMBAN – Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa kenaikan tarif air yang dilaksanakan tidak akan memberi impak besar kepada pengguna domestik kerana masih disubsidi oleh kerajaan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan ini juga dibuat secara bersama oleh semua negeri dan diselaraskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan tarif di peringkat negeri. Ia perlu diselaraskan di peringkat nasional bersama semua negeri. Hanya satu atau dua negeri yang minta penangguhan. Saya percaya pendekatan ini baik dan memberi manfaat dan kebaikan bersama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Tahun 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, bagi pengguna domestik, kadar baharu masih mengekalkan subsidi untuk 40 meter padu pertama, di mana 20 meter padu pertama diberi subsidi penuh, manakala 20 meter padu seterusnya dikenakan kadar minimum.
“Kita hanya ambil keuntungan sekitar 10 sen sahaja daripada kos rawatan dan pengurusan air. Walaupun tarif dinaikkan, pengguna domestik masih menikmati kadar yang rendah.
“Kos sebenar rawatan air di negeri ini adalah antara RM1.10 hingga RM1.15 setiap meter padu, tetapi pengguna hanya dikenakan sekitar 70 sen, bermakna kerajaan masih menanggung subsidi lebih 40 sen,” katanya. – KOSMO! ONLINE