KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengadakan lawatan kebajikan ke atas seorang anggotanya, Koperal Mohd. Nadzri Sudiman yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.
Menurut Polis Kuala Lumpur dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Mohd. Nadzri yang bertugas di Balai Polis Pudu mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika menjalankan pemeriksaan di Pasar Pudu, Jalan Yew, semalam.
Turut hadir dalam lawatan itu Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah.
Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail serta pegawai kanan dan anggota polis lain.
“Lawatan ini sebagai tanda keprihatinan Ketua Polis Negara terhadap pegawai dan anggota polis untuk memberi sokongan moral kepada pesakit dan keluarga selain memastikan aspek kebajikan terus terpelihara. ” kata hantaran itu hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang anggota polis cedera selepas ditikam seorang lelaki semasa menjalankan pemeriksaan di Jalan Pudu.
Ketika kejadian, anggota berkenaan dilaporkan sedang melakukan tugasan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan terbabit.
Suspek lelaki yang menikam anggota polis menggunakan pisau disyaki memiliki dadah ketika pemeriksaan dijalankan ke atasnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah hari itu, anggota terbabit cedera parah di bahagian perut dan dikejarkan ke HCTM untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE