CHICAGO – Pertahanan berpengalaman Manchester United, Luke Shaw menganggap tindakan tegas pengurus pasukan, Ruben Amorim ‘membersihkan’ kelab itu daripada elemen toksik adalah tepat.
Shaw berpendapat semua pemain termasuk bintang berpengalaman sepertinya wajar memainkan peranan tersendiri untuk membina skuad lebih sihat tanpa sebarang isu dalaman seperti yang menghimpit pasukan sebelum ini.
Penurunan prestasi hingga gagal layak ke pertandingan Eropah cukup perit untuk ditelan dan sebagai tindakan balas, Amorim mula melancarkan gerakan untuk mewujudkan bilik persalinan yang lebih harmoni tanpa lima pemain senior termasuk Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho.
“Dengan keadaan begini, tidak sukar untuk kita lihat dan sejak saya berada di sini dalam tempoh beberapa tahun ini, ia agak negatif. Ia boleh menjadi toksik dan tidak bagus buat pasukan.
“Kami perlukan persekitaran yang lebih sihat, positif dan membolehkan kami mendapat kegembiraan serta tenaga tambahan. Apabila semua ini ada, kami berasa bebas untuk menyerlahkan diri sendiri.
“Ruben meletakkan tuntutan besar dan dia sering bercakap mengenai perkara ini. Dia mahukan 100 peratus di mana baginya 85 ke 90 peratus belum cukup bagus.
“Saya fikir kami kena lakukannya untuk hadapi musim baharu nanti kerana jika kami tidak buat tugas kami dengan betul, sudah pasti kami tidak mampu bermain dengan baik,” katanya. – AGENSI