KLUANG – Seorang lelaki warga emas ditemui tidak sedarkan diri ketika berehat di tepi jalan sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Jalan Intan 1, Taman Intan di sini, tengah hari semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian dilaporkan kepada pihaknya pada pukul 12.55 tengah hari sebelum mengesahkan lelaki warga emas itu adalah seorang warganegara Singapura, Koh Seng Hong, 70.
Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan sudah menginap di sebuah hotel berhampiran tempat kejadian dan datang ke Kluang untuk mendapatkan rawatan daripada seorang Tabib Tradisional Cina di Taman Seri Kluang.
“Lelaki itu sudah menginap sejak 28 Julai di hotel tersebut dan keluar dari penginapannya itu kira-kira pukul 10 pagi sebelum duduk berehat di tepi jalan di hadapan sebuah pam minyak.
“Saksi awam memaklumkan, warga emas itu secara tiba-tiba terjatuh dari tempat duduknya dan didapati tidak sedarkan diri sebelum panggilan kecemasan kepada pihak kesihatan dilakukan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Azmi lagi, pemeriksaan awal pada tubuh badan mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah berlaku dan barangan peribadi masih berada bersama simati.
Ujarnya, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dan hasil bedah siasat doktor mengesahkan punca kematian adalah berpunca daripada serangan jantung. – KOSMO! ONLINE