PUTRAJAYA- Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee – GBC) bagi menyelesaikan konflik antara Kemboja dan Thailand akan berlangsung di Kuala Lumpur, Selasa ini.
Perkara itu disahkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, rundingan itu dibuat di Kuala Lumpur atas permintaan negara Thailand.
“Pihak Thailand telah meminta supaya mesyuarat itu atau GBC seterusnya tidak dilakukan di Phnom Penh tapi dibawa ke Kuala Lumpur.
“Mesyuarat pra GBC akan berlangsung pada Isnin dan mesyuarat GBC akan diadakan pada Selasa. Atase pertahanan bagi negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan China akan dijemput bagi menghadiri mesyuarat itu,” katanya.
Katanya, beberapa perkara lain akan turut dibincangkan pada mesyuarat dan rundingan itu termasuk mewujudkan pasukan pemantau dalam kalangan negara ASEAN bagi memastikan gencatan senjata itu berjaya.
Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee – GBC) antara Thailand dan Kemboja diguna pakai bagi menyelesaikan konflik kedua-dua negara itu. – KOSMO! ONLINE