PETALING JAYA – Keputusan rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bukti hubungan ekonomi yang kukuh dan kredibiliti negara sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penurunan tarif dari 25 peratus kepada 19 peratus juga telah dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
Beliau berkata, perkara itu membolehkan negara untuk terus melaksanakan dasar-dasar penting bagi menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi.
“Syukur, rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuahkan hasil positif.
“Kami di MITI akan terus bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk memastikan kita dapat meminimumkan kesan tarif ini dan pada masa yang sama, meneroka peluang baharu untuk syarikat Malaysia, terutamanya PKS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan berkenaan.
“Bersama-sama, kita akan terus memacu potensi global Malaysia!,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Malaysia dikenakan tarif 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden AS, Donald Trump semalam. – KOSMO! ONLINE