KUALA NERUS – Kapten kapal layar, Daisy yang karam di perairan Pulau Yu dekat sini pada Selasa lalu berjaya diselamatkan malam tadi setelah hampir 43 jam terapung di tengah laut.
Ahmet Volkan Ata, 52, ditemui pada kedudukan kira-kira 12.96 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 9.45 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan lanjut.
“Keadaan Ahmed yang merupakan warga Turkiye dilaporkan stabil. Tiada kecederaan luaran dikesan, namun pemeriksaan lanjut pada bahagian dalaman akan dilakukan.
“Seorang lagi mangsa, Eser Demirkol, 52, pula masih belum ditemui dan usaha pencarian masih giat dijalankan,” katanya.
Terdahulu, seorang lagi mangsa, Ates Demiroren, 41, berjaya diselamatkan diselamatkan oleh kru sebuah bot nelayan tempatan pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.
Sewaktu kejadian pada pukul 2.30 pagi, Selasa lalu, kapal layar yang dinaiki ketiga-tiga lelaki warga Turkiye terbabit dalam perjalanan ke Pelabuhan Pattani, Thailand. – KOSMO! ONLINE