BESUT – Rumah keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman terus dipenuhi pengunjung semalam sebelum ia ditutup sementara untuk kunjungan selama kira-kira sebulan mulai hari ini.
Bapa Allahyarham, Azman Mohamad, 63, berkata, kunjungan orang ramai termasuk dari luar negara tidak pernah berhenti sejak pintu rumah kembali dibuka sejak 5 Julai lalu.
Katanya, kehadiran pengunjung amat disenangi, namun dia sekeluarga terpaksa ‘menutup pintu’ buat kali kedua bagi membolehkan mereka membuat persiapan mengerjakan ibadah umrah pada pertengahan bulan ini.
“Insya-Allah, saya, isteri dan salah seorang anak perempuan kami akan berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.
“Kami akan menjalani kursus umrah di Pengkalan Chepa, Kelantan pada lusa (esok),” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di Kampung Gong Pasir, di sini semalam.
Azman berkata, dia sekeluarga akan membuat persiapan membeli peralatan mengerjakan umrah pada masa terdekat.
Pesara kerajaan itu juga menambah, tempoh rehat itu juga akan digunakan untuk menyiapkan fizikal, emosi dan mental mereka sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Insya-Allah, kami sekeluarga akan kembali menerima tetamu bermula 5 atau 6 September depan.
“Doakan urusan kami dipermudahkan dan dipelihara kesihatan sewaktu berada di Tanah Suci dan pulang ke tanah air,” katanya.
Azman berkata, kubur Nurly masih diizinkan untuk terus dikunjungi sepanjang ketiadaannya kelak.
“Kalau ziarah kubur arwah (Nurly) saya harap semua jaga adab agama” ujarnya. -KOSMO! ONLINE