IMPIAN untuk menyaksikan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli beraksi di pentas Grand Prix Malaysia pada Oktober ini semakin hampir menjadi kenyataan, namun segala-galanya bergantung kepada keputusan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, perbincangan dengan pihak SIC mengenai penyertaan pelumba berusia 18 tahun itu menerusi tiket wildcard kini berada di peringkat akhir dan mendapat maklum balas yang positif.
“Saya sudah uruskan semua perkara daripada pihak kami dan minggu lalu pun ada berbincang dengan pihak SIC. Mereka sebenarnya menuju ke arah itu untuk menjadikan program wildcard ini satu kenyataan.
“Namun, belum ada keputusan yang betul-betul muktamad, jadi saya belum boleh beri pengesahan rasmi. Tetapi, saya tidak mahu menghampakan peminat sukan permotoran negara dan amat berharap dapat melihat pelumba Malaysia bersaing di MotoGP Malaysia tahun ini.
“SIC sudah menyatakan komitmen mereka untuk keluarkan kos tertentu, tetapi seperti biasa, ia perlu dibincangkan dengan pihak pengurusan tertinggi sebelum dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui di Majlis RCB bersama bakat muda permotoran Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan.
Mengambil iktibar daripada pengalaman wildcard sebelum ini yang kurang berjaya, Zulfahmi memberi jaminan bahawa sekiranya penyertaan Hakim Danish menjadi kenyataan, segala persiapan akan dilakukan lebih awal agar pelumba itu dapat bersaing secara kompetitif.
“Sejak awal tahun lagi kita sudah merancang untuk program wildcard ini. Saya sendiri pernah merasai bagaimana rasanya berlumba di GP tanpa ujian dan dengan jentera tidak kompetitif itu bukan gaya saya.
“Kita akan pastikan Hakim dapat peluang menjalani ujian secukupnya sebelum turun ke litar dan jentera yang digunakan juga akan berada pada tahap terbaik,” tegasnya.