fbpx
Zara Qairina.

Ibu Zara Qairina nafi anak bunuh diri, minta inkues diadakan – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang ditemukan meninggal dunia di asrama sekolahnya pada 17 Julai lalu, menafikan dakwaan bahawa anaknya membunuh diri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh barisan peguamnya hari ini, Noraidah Lamat percaya wujud unsur jenayah di sebalik kematian anaknya dan menuntut siasatan penuh serta telus daripada pihak berkuasa.

“Kematian Zara adalah satu tragedi, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam kawasan asrama sekolah. Anak guam kami tidak percaya Zara membunuh diri.

“Sebaliknya, beliau yakin terdapat elemen jenayah yang menyebabkan kematian Zara,” kata peguam yang mewakili keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri.

Menurut mereka, pihak keluarga kecewa kerana tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis antara 17 hingga 27 Julai mengenai perkembangan siasatan.

Malah, dalam tempoh itu, tiada sebarang kenyataan media dikeluarkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan seolah-olah kes itu tidak disiasat.

Jelasnya, pada Isnin lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah memaklumkan siasatan sedang dijalankan, manakala pada semalam, pihak polis memaklumkan seramai 60 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Peguam memaklumkan, bahawa satu laporan polis tambahan telah difailkan oleh ibu mangsa pada Rabu lalu di Balai Polis Sipitang, meminta siasatan mendalam dijalankan memandangkan beliau memiliki rakaman perbualan antara dirinya dan Zara.

“Dalam rakaman itu, Zara memaklumkan dia diganggu dan dibuli oleh pelajar senior, termasuk seorang pelajar dikenali sebagai ‘Kak M’ yang pernah mengugutnya,” ujarnya.

Malah, keluarga turut mempersoalkan dakwaan Zara meninggal dunia akibat jatuh dari tingkat tiga bangunan, memandangkan wajah arwah tidak menunjukkan kesan kecederaan fizikal yang biasanya dikaitkan dengan insiden sebegitu.

Lebih membimbangkan kenyataan itu berkata, pihak sekolah dilaporkan meminta keluarga agar tidak membuat laporan polis.

Dalam pada itu, pihak keluarga turut menuntut agar bedah siasat dijalankan namun, sehingga arwah dikebumikan, tiada sebarang prosedur itu dilakukan.

Sehubungan itu katanya, permohonan supaya kubur digali semula telah dibuat untuk tujuan inkues.

Susulan permintaan keluarga, satu surat rasmi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada semalam bagi memohon supaya satu inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menentukan punca sebenar kematian.

Peguam turut menafikan segala dakwaan di media sosial yang mengaitkan ibu mangsa sebagai punca kematian Zara, menyifatkan ia sebagai satu fitnah jahat.

“Kami menasihati orang awam supaya tidak menyebarkan sebarang tuduhan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Jika ada maklumat, sila serahkan kepada pihak polis atau kepada kami,” kata mereka.

Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menzahirkan keprihatinan serta membantu menyuarakan keadilan untuk arwah Zara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI