fbpx
Keadaan mangsa di lokasi kejadian di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang.

Budak lelaki 4 tahun maut jatuh tingkat 8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – ” Anak siapa jatuh ini?”

Itu jeritan penduduk Flat Sri Perantau apabila kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui tertiarap dalam keadaan berlumuran darah di kepala selepas terjatuh dari tingkat 8, sebuah flat di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 7.45 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Difahamkan, mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik. Ibunya pula merupakan guru pelatih sebuah sekolah rendah, manakala bapanya bekerja di sebuah pelabuhan di sini.

Seorang jiran yang enggan dikenali berusia 40 tahun memaklumkan, ketika kejadian dia yang berada di bahagian dapur terdengar bunyi kuat seperti objek terjatuh dari flat berkenaan.

Lokasi kejadian di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang.

“Saya ingat orang buang sampah, tiba-tiba ada orang menjerit ‘anak siapa jatuh ini?’

“Selepas itu saya bergegas turun ke bawah dan melihat ramai penduduk berkumpul. Mangsa berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum dibawa ambulans (ke hospital),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, abang angkat mangsa berusia 12 tahun berkata, kali terakhir dia berjumpa kanak-kanak itu yang juga anak asuhan ibunya yang dijaga sejak bayi semalam.

“Seminggu ini, adik (mangsa) kelihatan sangat manja dan sering memeluk ibu. Sepatutnya malam ini, ayah rancang membawanya bermain badminton. Kami sekeluarga juga merancang untuk mengadakan majlis hari jadinya pada Oktober ini,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan KamalAriffin Aman Shah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Zon Merah HTAR. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI