BAGAN SERAI – Seramai dua juruterbang bersama tiga krew udara dan 35 anggota bomba bertungkus-lumus dalam usaha memadam kebakaran belukar yang berlaku di Kampung Tersusun Tebok Panchur, Gunung Semanggol sejak semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang semalam, sebelum menggerakkan operasi berskala besar yang melibatkan kekuatan keanggotaan dari pelbagai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri.
“Antara BBP yang terlibat ialah BBP Bagan Serai, Kamunting, Taiping, Selama, Parit Buntar, Lenggong, Gerik, Batu Kurau, Pengkalan Hulu, Trong serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lembah Beriah dan Alor Pongsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman yang kini memasuki hari kedua berjaya mengawal dan memadam kebakaran membabitkan kawasan seluas 56 ekar daripada keseluruhan 58 ekar yang terjejas.
“Kebakaran belukar yang bertompok-tompok ini dipadam menggunakan pam jentera dan pam angkut melalui satu aliran sejauh 1,000 kaki dengan sumber air diambil dari pili bomba berhampiran.
“Bagi memudahkan pengurusan operasi, kawasan terjejas dibahagikan kepada empat sektor, dengan setiap sektor dikendalikan oleh pasukan seramai enam hingga tujuh anggota,” katanya. – KOSMO! ONLINE