LONDON – Hasrat Arsenal untuk membawa pulang Eberechi Eze ke Emirates memerlukan komitmen besar apabila Crystal Palace meletakkan harga penuh £67.5 juta (RM322.34 juta) dengan bayaran awal £35 juta (RM198.46 juta) wajib dilunaskan.
Difahamkan, Arsenal telah memulakan perbincangan dengan Palace mengenai Eze, 27, yang masih mempunyai dua tahun kontrak di Selhurst Park, namun kelab itu tegas hanya akan melayan tawaran yang memenuhi klausa pelepasan penuh.
Palace mahu £35 juta diselesaikan secara bayaran awal dengan baki diselesaikan secara ansuran selain bonus tambahan berjumlah £7.5 juta (RM42.18 juta) juga terkandung dalam klausa tersebut.
Eze yang pernah dilepaskan Arsenal ketika berusia 13 tahun, dilaporkan berminat untuk kembali menyarung jersi The Gunners selepas kelab itu bertemu wakilnya bulan lalu.
Palace menandatangani Eze dari Queens Park Rangers (QPR) pada 2020 dengan harga £19.5 juta (RM109.92 juta) dan QPR bakal menerima 15 peratus keuntungan daripada perpindahan ini jika ia berlaku.
Selepas membelanjakan lebih £200 juta (RM1.14 billion) untuk enam pemain pada jendela perpindahan kali ini, Arsenal kini berharap dapat menjual beberapa pemain sampingan bagi membiayai perpindahan Eze.
Antaranya ialah Leandro Trossard yang menarik minat beberapa kelab Liga Perdana Inggeris serta Borussia Dortmund, selain Reiss Nelson yang menjadi buruan Fulham, Albert Sambi Lokonga, Oleksandr Zinchenko dan Fábio Vieira juga bakal dilepaskan.
Musim lalu, Palace gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan awal Liga Perdana, namun bangkit menamatkan saingan di tempat ke-12 dan menjulang trofi Piala FA pertama mereka menerusi jaringan tunggal Eze ke atas Manchester City.
Skuad Glasner akan kembali ke Wembley pada 10 Ogos ini bagi menentang Liverpool dalam aksi Piala Perisai Komuniti FA. – AGENSI