JOHOR BAHRU – Lima pekerja stor warga Indonesia mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki gas petroleum cecair (LPG) hampir 10 tan tanpa lesen di Ulu Tiram, di sini baru-baru ini.
Tertuduh iaitu Muhammad Ali, 32, Zulfan Fauzi, 31, Nasrullah, 34, Marhaban, 31, dan Adnan, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mereka didapati memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu LPG sebanyak 9,565.8 kilogram. Oleh itu mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu mengilang LPG tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 7.05 malam, 28 Julai lalu di Lot 184936, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram.
Bagi perbuatan itu, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, hukuman denda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Raja Nor Ikhlas Raja Ariff memohon tarikh lain sementara menunggu keputusan laporan kimia dan tidak mencadangkan jaminan ke atas kesemua tertuduh kerana warga asing. -KOSMO! NLINE