BANGKOK – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala tujuh lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah festival di selatan Thailand, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Kejadian berlaku semasa Festival Kam Lon ke-3 di wilayah Nakhon Si Thammarat, Selasa lalu.
Beberapa saksi berkata, suspek dikenali sebagai Ek, 41, terlibat dalam pergaduhan sebelum melepaskan tembakan membabi buta.
“Ketika orang ramai cuma menghentikan pertelingkahan itu, Ek tiba-tiba melepaskan tembakan secara rambang,” kata saksi.
Rakaman video kejadian di media sosial menunjukkan Ek melepaskan 10 das tembakan di festival tersebut.
Polis berkata, seorang penganjur maut selepas ditembak di kerongkong ketika cuba meleraikan pergaduhan itu.
“Ek baru sahaja keluar dari penjara atas kesalahan senjata api dan dadah.
“Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas. Dia mengalami kecederaan dan sedang dirawat,” kata polis. – AGENSI