PETALING JAYA – Polis sudah mengambil keterangan 60 saksi bagi membantu siasatan kes kematian pelajar sebuah sekolah agama di Papar, Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Rakaman percakapan itu turut melibatkan tiga individu dikenali dengan panggilan ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata, pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk unsur buli.
Menurutnya, semua saksi yang diambil keterangan membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah.
“Siasatan ketika ini di fasa akhir yang menjurus kepada dua elemen iaitu punca kematian dan juga persekitaran.
“Kes akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh,” katanya.
Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui kira-kira 3 pagi 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE