KUALA TERENGGANU – Seorang majikan dan dua syarikat masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membenarkan warga asing tanpa dokumen sah bekerja dan tinggal di premis mereka.
Majikan pertama, Kamarudin Alias, 51, yang merupakan pemilik A.D Metal Trading & Transport Sdn. Bhd didenda RM10,000.
Syarikat DS Ventech Sdn. Bhd. pula didenda RM10,000 manakala Tekun Concrete (M) Sdn. Bhd. pula dikenakan denda RM5,000 bagi setiap pekerja selepas mengupah dua pekerja asing tanpa pas sah.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman tersebut selepas Kamarudin dan dua wakil syarikat terbabit membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Berdasarkan pertuduhan, DS Ventech didapati mengambil seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah tapak pembinaan di Telok Kalong, Chukai, Kemaman pada 2 Julai lalu.
Kamarudin pula didakwa menggaji seorang lelaki warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa selama dua tahun dan tidak memiliki permit kerja di sebuah premis di Taman Industri Paka, Dungun.
Sementara itu, Tekun Concrete didakwa membenarkan dua warga asing dari Bangladesh dan Pakistan tinggal di premis kilangnya di Wakaf Tapai, Marang tanpa pas sah pada 22 Jun lalu.
Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E(1) , Seksyen 55B(1) dan Seksyen 55E(1I) akta sama. – KOSMO! ONLINE