fbpx
SEMPADAN Malaysia-Thailand hanya dipisahkan dengan gulungan kawat duri di kawasan Wang Kelian, dekat Padang Besar.

Tiada pagar, kawasan berbukit di Wang Kelian laluan penyeludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Polis Perlis mendedahkan penyeludupan daun ketum dan bahan terlarang dikesan berlaku di kawasan terbuka di sempadan Wang Kelian dekat sini yang tidak mempunyai tembok dan pagar.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya telah melaksanakan tinjauan khas yang melibatkan pelbagai elemen termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Cawangan Khas, Unit Risikan Sempadan serta Batalion 18 Pasukan Gerakan Am.

“Penugasan itu dijalankan bagi menilai ancaman serta mengenal pasti laluan aktif yang digunakan oleh penyeludup untuk membawa keluar daun ketum dan bahan terlarang.

“Dalam tinjauan tersebut, kita kesan terdapat laluan penyeludupan yang diaktifkan semula di zon Wang Kelian,” katanya pada sidang akhbar Pos PGA Wang Kelian, dekat sini hari ini.

Menurut Muhammad, siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan bijak mengambil kesempatan ketiadaan pagar di kawasan berbukit dan terpencil untuk membuka laluan keluar masuk ke negara jiran.

Katanya, tinjauan dilakukan di laluan sejauh empat kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian ke garis sempadan dengan permukaan bumi berbukit yang curam.

“Di sepanjang laluan itu, kita temui kesan pergerakan dan tinggalan makanan serta minuman yang menunjukkan aktiviti ini dipercayai dijalankan dalam skala besar.

“Bagi membendung perkara ini, Kontinjen Polis Perlis mengarahkan unit risikan dan JSJ untuk terus menjejak laluan yang dikenal pasti serta mengumpul maklumat dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tambahnya, sindiket dipercayai beroperasi pada waktu malam dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengelak rondaan pasukan keselamatan demi memastikan ketum dibawa keluar ke Thailand. 

Tinjauan mendapati ketiadaan binaan fizikal dan pagar sempadan juga dilihat sebagai antara cabaran utama penguat kuasa untuk mengawal kawasan tersebut yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI