PETALING JAYA – Serba mewah, pelakon terkenal Indonesia Luna Maya mengejutkan ramai apabila memberi cenderamata berupa mesin kopi kepada para tetamu pada majlis resepsi perkahwinannya di sebuah hotel lima bintang di Jakarta baru-baru ini.
Pemberian mesin kopi yang dianggarkan berharga 2,799,000 rupiah (RM726.15) seunit itu membuatkan ramai kagum selain menyifatkan majlis tersebut ‘wedding of the year’ pada tahun ini.
Menurut Luna, 42, idea memberi mesin kopi hanya bermula sebagai gurauan tetapi dia dan suami , Maxime Bouttier terkejut apabila pihak penaja menjadikan perkara tersebut realiti.
“Kami ‘pengsan’ bila dapat tahu semua tetapi akan dapat mesin kopi.
“Kasihan yang ‘packing’ dan kasihan tetamu yang perlu mengangkat mesin kopi itu seberat tiga kilogram sendiri,” katanya.
Bukan hanya mesin kopi, tetamu juga turut menerima set cawan seramik, sekotak kapsul kopi, vitamin, alat solek dan baucar rawatan kecantikan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan istimewa kumpulan Sheila On 7.
Difahamkan, ini bukan kali pertama Luna memberi hadiah istimewa kepada para tetamu.
Pada majlis pernikahan di Bali sebelum ini, dia juga memberi cenderamata berupa botol air jenama Stanley dan rangkaian produk kecantikan mewah, YSL Beauty.
Terdahulu, Luna dan Maxime yang berbeza usia 10 tahun selamat diijabkabul dalam sebuah majlis yang berlangsung di Bali pada 7 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE