JOHOR BAHRU – Suspek utama kes pembunuhan kanak-kanak lelaki yang ditemukan maut dibunuh, A. Tishant di kawasan di Jempol akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu akan dipindahkan ke IPD berkenaan, hari ini.
“Suspek akan diserah ke IPD Jempol hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, suspek ditahan pada 24 Julai lalu selepas dipercayai membuat laporan polis palsu mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.
Bagaimanapun, polis menjumpai mayat kanak-kanak berkenaan yang telah ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan empat hari kemudian.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof turut dilaporkan berkata, punca kematian Tishant disebabkan tekanan pada bahagian leher mangsa akibat jerutan pengikat kabel. -KOSMO! ONLINE