PUTRAJAYA- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2025 hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Dataran Pahlawan di sini disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail.
Menerusi hantaran dibuat di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu, istiadat sambutan yang dinaungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku dan diiringi 21 das tembakan meriam.
“Istiadat sambutan Hari Pahlawan kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai ‘last post’ dengan menurunkan Jalur Gemilang.
“Pengisian istiadat diteruskan dengan persembahan pantomim khas bertajuk Zabri Pejuang Sang Saka Biru oleh PDRM.
“Ia mengisahkan perjuangan ASP Zabri Abd. Hamid, salah seorang perwira yang terkorban dalam Ops Bamboo pada 4 September 1975 dan yang paling dikenang dalam 69 Komando,” titah hantaran itu.
Sambutan Hari Pahlawan diadakan sebagai simbol penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian para pahlawan ATM dan PDRM dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE