NAMANYA pernah meledak tatkala membintangi beberapa buah drama bersiri fenomena, antaranya Jangan Benci Cintaku dan Sayangku Kapten Mukhriz
Namun selepas mendirikan rumah tangga pada 2018, nama Nina Baharun seakan-akan sepi daripada radar hiburan.
Dia yang kini bergelar Datin dilihat lebih selesa menumpukan fokus terhadap keluarga dan membesarkan dua orang anak yang kedua-duanya lelaki.
Disebabkan lama menyepi, ada yang beranggapan anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sudah meninggalkan dunia lakonan.
Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa Nina sebenarnya tidak diizinkan suami untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan atas alasan cemburu.
Menepis semua dakwaan, Nina atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun, 32, berkata, segala tuduhan tersebut tidak berasas, malah minatnya dalam dunia lakonan sentiasa disokong si suami.
“Saya ingin menjelaskan di sini kerana ramai yang salah anggap ingat suami tak izinkan saya berlakon. Sebenarnya suami saya sangat menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia izinkan saya berlakon.
“Saya sudah kenal dengan suami sebelum saya bergelar pelakon lagi. Tujuh tahun kami berkenalan sebelum berkahwin. Sekarang usia perkahwinan kami pun sudah tujuh tahun.
“Cuma kekangan masa membuatkan saya terpaksa berehat daripada dunia lakonan. Saya mahu fokus membesar dua orang anak saya.
Tambahan pula anak-anak saya menyusu badan. Jadi susah untuk saya tinggalkan mereka,” katanya.
Tambah pelakon drama Jangan Benci Cintaku itu lagi, kini dia sudah bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan memandangkan anak-anak juga sudah besar.
“Alhamdulillah tahun ini saya akan terlibat dengan sebuah filem yang belum boleh saya kongsikan butirannya.
“Saya akan bergandingan dengan Raja Afiq dan berapa nama besar di dalam industri.
“Raja Afiq sendiri yang ‘request’ untuk bergandingan dengan saya sebagai hero dan heroin memandangkan drama kami sebelum ini iaitu Sayangku Kapten Mukhriz pernah menjadi fenomena.
“Terkejut juga bila dapat mesej daripada Raja Afiq sebab kami sudah lama tidak berhubung sejak masing-masing sudah berkahwin dan buat hal masing-masing,” kongsinya.
Tak mahu watak penyondol
Mengenali Nina, watak penyondol yang dilakonkannya dalam drama Jangan Benci Cintaku benar-benar memberi impak besar dalam kerjaya lakonannya.
Sejak itu dia sering ditawarkan watak sebagai penyondol biarpun berhijab.
Bercakap tentang kerinduannya untuk turun padang, Nina sebenarnya tidak lagi mahu membawa watak sebagai penyondol.
Dia sebaliknya teringin membawa watak yang lebih mencabar kewibawaannya sebagai pelakon.
“Selepas sudah berkahwin pun saya masih ditawarkan watak penyondol. Kalau boleh saya nak bawa watak yang belum pernah dilakonkan sebelum ini.
“Memang saya pernah viral membawakan watak penyondol kerana menjadi penyondol berhijab, tetapi berilah saya watak lain pula. Saya sudah puas bawa watak penyondol,” luahnya.