KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menilai semula dan memperkukuh kerangka undang-undang maritim negara agar lebih relevan dan kompetitif dengan perkembangan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan selaras dengan kepentingan sektor perdagangan yang 94.6 peratus daripadanya melibatkan akses perairan laut.
Katanya, semakan akan dilakukan melalui Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-undang Maritim Malaysia yang diwujudkan khusus bagi memperkukuh peraturan berkaitan.
“Ini penting bagi memastikan undang-undang maritim negara seiring dengan perkembangan semasa perdagangan dan keselamatan perairan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga memberi perhatian terhadap aspek kelestarian dengan menumpukan kepada pembanterasan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal (IUU).
“Selain itu, sistem tagal atau tagang akan diperluas sebagai amalan lestari di kawasan pantai, pulau dan perairan negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE