KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan strategi serampang dua mata, bagi membantu rakyat menangani tekanan kenaikan kos sara hidup yang kian membebankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan sekadar mengekang kenaikan harga barang atau perkhidmatan demi mengurangkan beban perbelanjaan, dasar ini juga memastikan pendapatan kehidupan wajar kepada semua.
“Akses kepada pendidikan yang terangkum dan berkualiti, kesihatan yang menyeluruh dan mampu dibayar, kediaman yang selamat dan selesa, serta bekalan makanan yang terjamin dan berkhasiat turut menjadi keutamaan.
“Kebijakan ini juga akan membuka ruang dan peluang kemajuan untuk semua rakyat tanpa mengira latar, wilayah atau pendapatan,” katanya.
Anwar juga berkata, inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA akan diteruskan,
Selain itu, katanya, Payung Rahmah juga akan dipergiat melalui program-program utama seperti Jualan Rahmah, Menu dan Kafe Rahmah, serta Bakul Rahmah yang membolehkan akses kepada makanan dengan harga berpatutan.
“Pada masa sama, kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan kawalan harga makanan bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian bekalan.
“Sebanyak 17 bentuk bantuan juga diperkenalkan kepada pelajar seawal peringkat prasekolah hingga menengah agar mereka tidak keciciran daripada mendapat akses makanan yang sihat dan berkhasiat.
“Ini termasuklah Bantuan Makanan Asrama, Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Awal Persekolahan dan Biasiswa Persekolahan,” katanya.
Dalam pada itu, bantuan untuk meringankan sara hidup rakyat tidak terhenti setakat pemberian bantuan tunai dan makanan.
Anwar berkata, kerajaan turut berusaha mengurangkan bebanan bil utiliti kediaman, antaranya melalui kaedah Time-of-Use (ToU) yang ditawarkan oleh Tenaga Nasional Berhad.
“Selain itu, Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet serta insurans dan takaful yang lebih mampu dibayar juga diteruskan.
“Kerajaan juga terus memastikan kos pengangkutan awam yang berpatutan. Pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan OKU serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar akan diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE