fbpx
Gambar hiasan

RMK13: SPM terus diguna pakai untuk nilai pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMLUR – Kerajaan akan menjadikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai penanda aras utama dalam sistem pendidikan pada peringkat kebangsaan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peperiksaan itu akan terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan.

Malah kata Perdana Menteri, kualiti pendidikan negara akan ditingkatkan agar berada separas purata antarabangsa berdasarkan penilaian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi memastikan sistem pendidikan kekal berdaya saing dan relevan.

“Bagi mempertingkatkan keberhasilan pendidikan, kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada umur lima tahun.

“Kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus, dan menambah baik model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menambah, langkah tersebut bagi memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai 98 peratus iaitu melebihi kadar enrolmen sejagat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tumpuan juga diberikan supaya Bahasa Inggeris dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan.

“Manakala pembelajaran bahasa tambahan akan diperluas. Penekanan turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan STEM dan literasi digital, termasuk pengenalan asas AI, bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan yang bernilai tinggi.

“Sistem pendidikan negara akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan,”tegasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI