fbpx
Fadillah

RMK13 rangkul semua sektor, tumpu pembangunan inklusif, lestari – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai perancangan menyeluruh yang realistik serta merangkumi pelbagai sektor dan lapisan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ yang diketengahkan dalam RMK13 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh daya saing negara di persada antarabangsa.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan Kementerian Ekonomi atas pembentangan ini yang merangkumi pendekatan pembangunan teliti, menyantuni rakyat, menghormati kelestarian alam dan menumpukan kepada tadbir urus yang baik,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata,
dalam konteks kementeriannya, tumpuan diberikan kepada jaminan bekalan tenaga dan air yang mampan dengan mengambil kira kemampuan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan memperkenalkan sistem pasaran tenaga lebih inovatif termasuk mekanisme eksport tenaga boleh baharu dan konsep ‘time of use’ untuk galak penggunaan tenaga cekap.

“Selain itu, kerajaan sedang mengkaji potensi teknologi nuklear sebagai alternatif jangka panjang untuk tenaga bersih dan stabil,” jelasnya.

Bagi sektor air pula, katanya, beberapa projek tebatan banjir telah diumumkan di negeri seperti Johor dan Perak bagi menangani risiko banjir berikutan perubahan cuaca yang lebih mencabar.

Beliau turut menyambut baik tumpuan terhadap Sabah dan Sarawak melalui kesinambungan projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo dan Trans Borneo demi memperkukuh keterhubungan dan pembangunan di kedua-dua wilayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI